PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin menyeru pihak-pihak berminat menawarkan hadiah kereta kepada atlet agar menumpukan ganjaran tersebut kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024.
Beliau menekankan ganjaran mewah seharusnya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak seperti membawa pulang emas buat negara kerana langkah itu bukan sahaja menghargai usaha gigih atlet tetapi juga memperkukuhkan jenama penaja di mata rakyat.
“Jika penaja ingin beri mereka kereta, anda perlu berikan kepada juara yang bawa emas untuk negara. Jika anda mahu jenama anda sebagai nombor satu, anda perlu memberikan kepada atlet yang menang emas.
“Jika nak bagi kepada atlet yang tak menang emas terpulang kepada anda,” katanya kepada Bernama dalam sidang media yang berlangsung di Paris semalam.
Megat turut menyuarakan pandangannya bahawa pemberian ganjaran kepada pemenang pingat lain mungkin mencetuskan persepsi tidak adil, terutama apabila dibandingkan dengan layanan diterima oleh pemenang dari temasya sukan yang melibatkan atlet-atlet normal.
Dalam perkembangan sama, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Paris 2024, Datuk R. Subramaniam melaporkan setakat ini tiada sebarang masalah timbul melibatkan kontinjen negara dan semuanya berjalan dengan lancar di bumi Paris.
Berdasarkan laporan dari setiap pengurus sukan, kesemua 30 atlet negara kini bersiap sedia menggalas cabaran yang bermula semalam dan kontinjen negara dijangka bakal memberikan saingan hebat dalam sukan berprestij dunia berkenaan.