TOKYO – Penemuan vaksin Covid-19 akan menjadi kunci utama bagi penganjuran Sukan Olimpik Tokyo, Jepun selepas temasya terbesar itu terpaksa ditangguhkan ke tahun depan.
Presiden Jawatankuasa Penganjur Olimpik Tokyo, Yoshiro Mori berkata, faktor yang penting bagi pihaknya untuk menganjurkan temasya itu adalah dengan mengetahui bilakah masalah pandemik Covid-19 berakhir.
“Saya tidak boleh bayangkan jika situasi seperti ini akan terus berlanjutan.
“Jika ia terus berlanjutan, kami tidak boleh meneruskan penganjuran ini,” katanya dalam satu temu ramah bersama stesen televisyen tempatan, NHK.
Sukan Olimpik Tokyo 2020 sepatutnya berlangsung secara rasmi pada Jumaat ini tetapi ditangguhkan pada tahun depan berikutan Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Temasya itu akan bermula 23 Julai tahun depan, namun tinjauan menyaksikan orang ramai berpendapat ia sepatutnya ditunda selepas kes di Jepun menunjukkan peningkatan.
Ketika ini, 26,300 rakyat Jepun disahkan dijangkiti Covid-19 dengan 989 kematian.
Hasil kajian mendapati hanya satu daripada empat rakyat Jepun mahu menyaksikan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo dilangsungkan tahun depan. – AGENSI