fbpx

Anggota tentera didakwa noda anak tiri perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini.

AMPANG – Seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan seksual terhadap anak tiri perempuannya berusia 12 tahun termasuk merogol kanak-kanak itu sejak tiga bulan lalu.

Bagaimanapun tertuduh yang berpangkat koperal berusia 29 tahun tersebut mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.

Bagi dua pertuduhan merogol tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak tiri perempuanya yang berusia 12 tahun yang mana perhubungan tertuduh dengan mangsa adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama dan adat.

Justeru bagi dua pertuduhan merogol itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan tidak kurang dari sepuluh sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara bagi satu lagi pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa bagi tujuan seksual yang didakwa mengikut seksyen 14(a) akta kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Cheras di sini pukul antara pukul 3 petang pada bulan Jun, pukul 4 petang pada Julai dan pukul 8 malam pada 18 Ogos lalu.

Terdahalu Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut tidak boleh diikat jamin selain kesalahan yang dilakukan serius apatah lagi hubungan mangsa dan tertuduh adalah anak tiri.

“Sekiranya mahkamah memberikan ikat jamin, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah ikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan,” kata Nurfadzlin.

Selain itu syarat lanjut daripada pendakwaan adalah tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu mangsa yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mendengar perkara itu peguam Mark Jeyakumar Michael yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan ikat jamin kerana anak guamnya merupakan penanggung utama keluarganya.

“Isteri tertuduh merupakan suri rumah dan bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan daripada tertuduh. Ini kali pertama tertuduh didakwa ke mahkamah selain sepanjang siasatan dijalankan tertuduh juga telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis,” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman daripada kedua-dua belah pihak Hakim Norshila membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 6 November ini sebutan semula kes.

Hakim itu juga menetapkan syarat tambahan dengan mengingatkan tertuduh tidak menganggu dan tidak melawat mangsa di JKM meskipun bersama ibu kandungnya atau menghantar sebarang pesanan kepada mangsa yang boleh menganggu perbicaraan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI