KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar pembangunan projek perumahan mampu milik di ibu kota disegerakan bagi memenuhi permintaan yang tinggi khususnya bagi golongan B40 dan M40.
Perdana Menteri itu berkata, pembangunan itu juga perlu memenuhi kriteria rakyat seperti kemudahan fasiliti termasuklah aspek keselesaan.
“Kalau lengahkan kelulusan, kos rumah akan jadi lebih tinggi. Syarikat yang buat (pembinaan) tidak akan rugi tetapi dapat untung.
“Kos rasuah, kos bank semua akhirnya akan terbeban kepada pembeli. Kalau macam ini negara tidak akan maju, kalau begini rakyat tidak akan terbela,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Residensi Suria Madani di Taman Desa di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar juga meminta kemajuan setiap projek untuk dibentangkan secara berkala kepada Jabatan Wilayah dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, serta Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.
Terdaulu, dalam majlis tersebut, sebanyak 800 unit Residensi MADANI akan dibina oleh syarikat pemaju Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) dengan projek berkeluasan 0.99 hektar itu membabitkan pembinaan dua blok berkeluasan 800 kaki persegi yang akan dijual pada harga RM200,000. – KOSMO! ONLINE