KUALA SELANGOR – Koloni warga asing yang mendiami rumah flat sekitar Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam di sini akhirnya diserbu pihak berkuasa semalam.
Serbuan bermula pukul 5 petang hingga 2 pagi susulan tiga laporan dan pendedahan Kosmo! bermula 6 Ogos lalu mengenai rayuan penduduk agar operasi dilakukan susulan kebanjiran warga asing di lokaliti tersebut.
Hasil serbuan turut mendapati ada rumah kedai yang diubahsuai menjadi asrama pekerja dengan dilengkapi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan pihak berkuasa.
Malah, turut difahamkan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) telah meloloskan diri dengan menaiki kenderaan e-hailing sejam sebelum operasi dilaksanakan pihak berkuasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Ambia Nordin berkata, perkara itu tidak dinafikan berlaku susulan kehadiran pihak berkuasa dirasai dan dilihat seterusnya membuatkan warga asing yang mempunyai kesalahan termasuk tiada dokumen lengkap untuk meloloskan diri.
Katanya, serbuan tersebut hasil risikan pihaknya selama tiga minggu dengan rungutan dan aduan daripada penduduk setempat serta pihak media yang menyatakan kebanjiran warga asing yang mempunyai sikap biadap, pengotor dan menjejaskan sosio ekonomi masyarakat setempat.
“Masyarakat setempat juga menyatakan mereka tidak selesa banyuk warga asing berulang-alik bekerja seterusnya membuat mereka takut keluar bermain di luar.
“Hasil operasi mendapati kebanyakan mereka menyewa kediaman pangsapuri kos rendah yang berkemungkinan faktor kos murah berbanding apartmen membuatkan mereka menyewa di situ.
“Seharusnya untuk kebaikan, warga asing diletakkan di satu pusat setempat yang tidak bercampur dengan penduduk tempatan dan tahap kebersihan dapat kita kawal dan memudahkan pengurusan warga asing bekerja di negara ini,” katanya di lokasi kejadian malam tadi.
Operasi Bersepadu diketuai Ambia tersebut turut disertai Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pendaftaran Negara dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Ambia memaklumkan sepanjang operasi juga ada warga asing yang cuba melarikan diri melalui tingkap dan melompat ke atas sengkuap namun membatalkan niat selepas perbuatannya disedari pihak berkuasa.
Selain itu, ada yang bersembunyi di rumah kedai berhampiran dan memohon untuk dilepaskan.
“Siasatan mendapati ada rumah kedai yang diubahsuai menjadi asrama pekerja dengan dipasang CCTV bagi tujuan mengesan kehadiran pihak berkuasa.
“Rata-rata warga asing yang ditangkap dalam operasi tersebut bekerja sebagai buruh binaan, pekerja kedai runcit dan penjaja haram kecil-kecilan,” katanya.
Jelas beliau, sepanjang operasi tersebut berjaya memeriksa 684 individu dan menahan 94 PATI termasuk 15 wanita yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
Kesemua mereka dibawa ke Pusat Tahanan Imigresen Shah Alam untuk tindakan selanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (c) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963.
“Dari segi masalah jenayah libatkan warga asing di lokaliti ini tidak begitu membimbangkan.
“Secara keseluruhannya, matlamat operasi ini menunjukkan tindakan dan langkah proaktif pihak berkuasa bagi mengekalkan ketenteraman awam dan memastikan masyarakat tempatan hidup dengan aman. Kita akan terus operasi dari masa ke semasa,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kebanjiran warga Myanmar, Bangladesh, Nepall menjajah Taman Alam Jaya, Puncak Alam sejak 10 tahun lalu dengan menguasai kediaman flat serta rumah-rumah kedai sekaligus menjadi koloni asing di kawasan perumahan itu.
Kesemua ini berlaku disebabkan sikap pemilik rumah flat yang suka menyewa kediaman mereka kepada warga asing.
Malah, peniaga asing di lokaliti tersebut juga seolah-olah mencabar pihak berkuasa apabila masih berdegil meneruskan operasi perniagaan meskipun pernah diserbu pihak berkuasa sebanyak enam kali. – KOSMO! ONLINE