SEREMBAN – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terlanggar sebuah tayar lori yang sedang bergolek dan datang dari arah bertentangan dalam kejadian di Kilometer 266.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini awal pagi tadi.
Mangsa yang merupakan penjawat awam dikenali sebagai, Razali Ahsan, 47, meninggal dunia ditempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Mohamad Hatta Che Din berkata, pada pukul 7.30 pagi, telah berlaku satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal dan sebuah lori.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki berumur 47 tahun, dari arah Sikamat menuju ke arah Putrajaya dan setibanya di lokasi, motosikal mangsa telah terlanggar sebuah tayar lori yang sedang bergolek dari arah bertentangan sehingga mengakibatkan hilang kawalan lalu melanggar besi kiri penghadang jalan,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online malaporkan kejadian seorang penunggang motosikal cedera terkena tayar lori tercabut dalam kejadian di Jalan Syed Putra, di ibu negara pada 24 Ogos lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila tayar sebuah lori tercabut lalu terpelanting terkena motosikal dan sebuah kereta yang berada dibelakangnya. – KOSMO! ONLINE