fbpx

‘Sampai serak suara saya nasihatkan, masih ada yang ditipu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMLI

KUALA LUMPUR – “Sampai serak dah suara saya menasihatkan, masih ada mangsa di luar sana,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau meluahkan sedemikian ekoran sudah banyak kali pendedahan dan laporan oleh pihak polis mengenai mangsa yang menanggung kerugian akibat penipuan skim pelaburan ‘cryptocurrency’, namun masih ada lagi individu terperdaya.

Ramli berkata, kes terbaharu ialah pada 17 Ogos lalu melibatkan seorang ahli perniagaan berusia 69 tahun yang kerugian RM10.2 juta setelah menyertai satu skim pelaburan ‘cryptocurrency’.

“Berdasarkan laporan polis dibuatnya di Sarawak, mangsa mula menyertai pelaburan itu pada April 2024 setelah berkenalan dengan individu secara dalam talian.

“Individu ini telah mengajar pengadu perihal pelaburan ‘cryptocurrency’ dan meminta mangsa membuat turun aplikasi Coinbase Wallet bagi mengakses sebuah laman bagi tujuan pelaburan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejak April hingga Jun, mangsa membuat pindahan secara berperingkat ke dalam akaun pelaburannya melibatkan nilai keseluruhan RM10.2 juta.

“Apabila ingin membuat pengeluaran wang daripada platform itu, pengadu diarahkan membuat bayaran tambahan berjumlah 310,000 USDT.

“Bagaimanapun setelah dibuat bayaran, mangsa dapati wang daripada akaun pelaburannya menjadi kosong. Siasatan kes sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ramli menasihatkan kepada mereka yang berniat menceburi pelaburan ‘cryptocurrency’ dinasihatkan mengambil langkah waspada, antaranya melakukan kajian terhadap skim tersebut.

“Ketahuilah operator skim pelaburan perlu berdaftar dengan pihak berkuasa untuk menjalankan perkhidmatan kewangan atau pelaburan.

“Pengendali skim pelaburan yang tulen pastinya memiliki pejabat fizikal. Lakukan urusan secara bersemuka dengan pengelola skim pelaburan yang berkenaan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI