PETALING JAYA – Luahan seorang wanita berusia 23 tahun yang berasa dirinya rimas dikongkong ibu bapanya sehingga ingin melarikan diri dari rumah menerima pelbagai reaksi negatif daripada orang ramai.
Rata-rata pengguna media sosial dilihat memberi nasihat kepada wanita yang dianggap bertindak mengikut emosi itu tanpa memikirkan perasaan sebenar ibu bapa yang mungkin bimbang akan keselamatannya.
Luahan tersebut yang tular di aplikasi X, memaparkan rungutan wanita itu yang tidak dibenarkan melepak dengan kawan-kawan selepas pulang dari tempat kerja.
Ujarnya lagi, kongkongan itu merimaskan dirinya sehingga berniat mahu melarikan diri dari rumah untuk mendapatkan kebebasan yang diingini.
“Patut ke aku lari rumah? Korang bayangkan, aku balik kerja ‘closing’ pukul 10.30 malam pun terus kena balik rumah.
“Jangan harap lah nak ‘ngopi’ (minum) dulu kat kedai makan. Kalau tak nanti ayah aku ‘start’ kereta pergi cari aku.
“Korang rasa? Aku tak tahu sampai bila nak hadap benda merimaskan macam ni. Nak kata aku ni budak-budak tapi umur pun dah 23 tahun. Haih bencinya asyik kena kongkong,” luahnya.
Susulan itu, orang ramai dilihat membantah tindakan wanita tersebut selain memberikan nasihat di ruangan komen agar sentiasa bersyukur kerana masih ada ibu bapa yang masih sayang.
“Ayah aku pernah cakap dulu, ‘kalau nak kerja, nak rasa berdikari, duduk rumah sendiri. Tapi kalau nak kerja, dan kau nak duduk di rumah orang tua, kena ikut adab duduk dengan orang tua’. Bunyi pedih tapi sampai sekarang ingat,” komen Hasif.
“Akak pun masih bujang dan duduk dengan keluarga. Akak suka je bila mak ayah ambil beray macam ni, jadi bersyukurlah. Kalau betul-betul tak suka, tak salah luahkan. Tak perlu sampai nak lari rumah,” komen Feera.
“Dik, awak tu perempuan. Selagi awak belum berkahwin dan masih duduk dengan mak ayah, ikut je cakap ayah tu suruh terus balik rumah. Dengan keadaan sekarang ni ramai orang hilang, ikut je cakap ayah tu,” komen Hijanah.
“Kalau dah malam, anak tak balik lagi, sudah pasti sebab mak ayah risau atau sayang. Sekarang ni banyak kes kena culik. Untunglah ayah sayang macam tu sekali. Bersyukur,” komen Alia Hisham pula. – KOSMO! ONLINE