PETALING JAYA – Hubungan dua hala Malaysia-Brunei akan bergerak ke lembaran baharu susulan lawatan kerja dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brunei sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25, semalam.
Anwar berkata, lebih banyak peluang dan ruang akan dimanfaatkan kedua-dua negara termasuk di peringkat persekutuan selain Sabah dan Sarawak.
“Natijahnya, hubungan Malaysia-Brunei akan dapat dirasai menerusi keakraban yang lebih harmoni.
“Ia membabitkan pelbagai kerjasama dan pihak sama ada di peringkat persekutuan, juga kerajaan negeri Sabah serta Sarawak amnya demi kepentingan bersama-sama.
“Moga usaha dirancang ini mampu membuahkan hasil demi kemajuan bersama-sama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.
Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan, Brunei.
Anwar berkata, pertemuan empat mata kira-kira satu jam dengan Sultan Hassanal Bolkiah itu bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 (ALC-25) Malaysia dan Brunei.
“Kami menggunakan peluang yang ada ini bagi menilai kemajuan kerjasama dua hala dan membincangkan inisiatif baru untuk memperkukuh hubungan dua hala untuk dimanfaatkan rakyat kedua-dua negara,” ujarnya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau dan Sultan Brunei mempunyai tekad yang sama dalam menyelesaikan isu hubungan dua hala yang telah sekian lama tertunggak.
Menurut beliau, penyelesaian itu kelak sekali gus mampu mengangkat hubungan antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih akrab lagi di masa hadapan. – KOSMO! ONLINE