fbpx

Penyelia sering tegur disiplin pekerja dipukul sehingga parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

AMPANG – Polis menahan tiga individu disyaki terbabit kes memukul penyelia syarikat menggunakan senjata sehingga parah dalam kejadian di sebuah asrama pekerja, Taman Ampang Utama, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengarah syarikat yang memaklumkan penyelia syarikatnya dipukul oleh pekerja sehingga tidak sedarkan diri, Sabtu lalu.

Katanya, mangsa berusia 28 tahun dipukul di bahagian tangan dan kepala sehingga tidak sedarkan diri di asrama pekerja.

“Akibat kecederaan, mangsa lelaki tempatan dihantar ke Hospital Ampang dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd Azam, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun, kelmarin.

“Tangkapan pertama dibuat termasuk rampasan di sebuah lokasi di Bandar Bukit Puchong, Selangor. Tangkapan kedua membabitkan dua lelaki tempatan berusia 24 tahun dan 16 tahun di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor, pada hari yang sama,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, motif kejadian disebabkan salah seorang suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang sering memberikan teguran disiplin kepadanya.

“Dalam pada itu, mangsa turut melaporkan kehilangan kabinet di dalam asrama suspek kepada pengurusan syarikat tentang kejadian tersebut.

“Kehadiran suspek kedua adalah bagi membantu rancangan suspek pertama serta turut serta memukul mangsa,” katanya.

Menurut Mohd Azam, kesemua suspek mempunyai rekod lampau dan positif dadah.

“Dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 1 September manakala seorang lagi direman sehari sehingga hari ini.

“Kes disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan merujuk kepada mendatangkan cedera parah dengan senjata,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI