GEORGE TOWN – Seorang pemilik kedai makanan bertindak melarikan diri selepas menyedari premis perniagaannya yang beroperasi di sebuah pasar raya di pusat bandar ini diserbu bahagian penguat kuasa imigresen Pulau Pinang, semalam.
Menurut jurucakap Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang, tindakan majikan terbabit dipercayai dilakukan apabila dia menyedari para pekerja yang digajikan tidak memiliki pas dan permit yang sah.
Menurutnya, dalam serbuan tersebut, seramai lapan pekerja warga asing telah diperiksa dan kesemua mereka disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah untuk berada serta bekerja di negara ini.
“Warga asing tersebut berumur antara 30 hingga 50 tahun itu terdiri daripada dua lelaki warga China, seorang lelaki Myanmar, empat lelaki dan seorang wanita Indonesia.
“Mereka telah ditahan kerana disyaki tidak memiliki pas yang sah dan melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap JIM berkata lagi, siasatan lanjut dan gerakan mengesan majikan yang terbabit juga akan dilaksanakan untuk dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sementara itu, katanya, seorang lelaki Pakistan berumur 46 tahun yang disyaki bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah rumah ibadat yang terletak di Lebuh Faquhar turut diperiksa.
“Dia didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan telah ditangkap kerana kerana disyaki tidak memiliki pas yang sah dan melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Kesemua tangkapan akan ditahan di Depot Imigresen Juru untuk siasatan dan tindakan lanjut jabatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE