fbpx

‘Takut bila diajak kahwin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara peserta yang hadir pada acara ‘speed dating’ di sebuah kafe terbuka di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Desakan ke­luarga, stres sering di­tanya tentang jodoh selain tidak reti me­mulakan perkenalan antara punca peserta menyertai ‘speed dating’ untuk mencari kekasih.

Penjawat awam, Ida (bukan nama sebenar), 36, berkata, dia memilih untuk mencari jodoh menerusi kaedah ‘speed dating’ selepas pelbagai desakan terutama keluarga dan orang sekeli­ling yang mahu dia menamatkan zaman bujang.

Katanya, dia mengakui tertekan apabila kerap ditanya tentang jodoh, bahkan berasa sunyi apabila ramai sepupu dan rakan seusia telah berumah tangga.

“Saya pernah berkawan de­ngan lelaki, namun jodoh tidak panjang. Ada yang nak, namun ada juga terlalu menekan soal kahwin. Saya takut apabila diajak berkahwin.

“Jadi saya ambil keputusan sertai ‘speed dating’ kerana saya mahu membina keyakinan diri untuk bercakap dengan orang a­sing yang saya tidak kenal,” ­katanya kepada Kosmo!.

Ida yang berkhidmat di sebuah kementerian di Putrajaya memberitahu, ‘speed dating’ le­bih selamat berbanding mencari jodoh melalui platform media sosial.

“Pemilihan dan syarat agak ketat serta dibuat di tempat terbuka berbanding bertemu secara berdua sahaja dengan orang yang baru dikenali di Tinder misalnya, kita tidak tahu niat mereka apa,” ujarnya yang berasal dari Sela­ngor.

Kakitangan swasta, Nazira (bukan nama sebenar), 25, pula berkata, sikap introvert dalam diri antara faktor dia memilih kaedah ‘speed dating’ bagi memulakan perhubungan sebagai rakan.

“Saya introvert, jadi agak sukar untuk memulakan perkena­lan baharu. Pernah juga berkawan dengan lelaki, namun kami tidak ada jodoh. Saya takut untuk ke fasa seterusnya.

“Kaedah baharu ini adalah proses untuk saya cuba berkawan, berkenalan dengan orang lain. Kalau ada jodoh, insya-Allah,” katanya yang berkhidmat sebagai penyelidik.

Sementara itu, pegawai perubatan, Dr. Nurul (bukan nama sebenar), 30, berkata, dia tergerak hati mahu mencuba ‘speed da­ting’ selepas berpisah dengan teman lelakinya.

“Saya baru beberapa bulan berpisah dan sebab utama ialah perbezaan agama. Kami mengambil keputusan untuk tidak meneruskan hubungan, namun masih berkawan.

“Disebabkan saya pun sudah single secara rasmi, saya cuba kaedah ‘speed dating’ ini. Mana tahu jika ada jodoh, saya ikut sahaja apa yang telah ditentukan oleh Allah,” ujarnya.

Peserta lelaki, Syafiq (bukan nama sebenar), 25, pula berkata, dia sudah empat kali menyertai ‘speed dating’ untuk mengenali wanita di luar lingkungan kerja dalam sektor pemasaran industri sukan.

“Saya tidaklah sasar mahu cari jodoh cepat, namun kalau sudah ditetapkan Allah, saya ikut sahaja. Saya cuma mahu ber­kenalan dan berkawan.

“Hampir setiap hari saya jumpa orang sama di tempat kerja, saya mahu cuba keluar dari zon tersebut,” ujarnya.

Seorang lagi peserta lelaki, Mohamad Amirul Hafiz Roslan, 31, berkata, ini kali kedua dia menyertai ‘speed dating’ de­ngan niat mahu berkenalan memandangkan dia juga seorang yang introvert.

“Kita jumpa orang dan bersembang. Banyak benda baharu boleh belajar,” katanya yang juga penganalisis perniagaan di syarikat berkaitan kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI