PARIT – Seorang lelaki kini bergantung sepenuhnya kepada keluarganya untuk meneruskan hidup selepas sebahagian tempurung kepalanya dibuang ekoran serangan strok dua tahun lalu.
Menurut Mohd. Sobrie Ramli, 29, serangan strok itu menyebabkan dia lumpuh sebelah kanan badan, sekali gus menyukarkan pergerakan asas seperti berjalan dan makan, bahkan pertuturannya adakala sukar difahami.
Katanya, tempurung kepalanya dibedah di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
“Untuk menguruskan diri sendiri seperti mandi dan membuang air juga tidak mampu dilakukan sendiri dan ahli keluarga membantu dalam hal berkenaan.
“Buat masa ini, saya dan keluarga menetap di rumah ibu mentua di Bota walaupun kami memiliki kediaman sendiri di Bandar Baru Setia Awan Perdana, Sitiawan,” katanya di sini baru-baru ini.
Terdahulu, bapa kepada tiga anak itu menerima kunjungan pengurusan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Manjung diwakili Pengurusnya, Mohd. Shaperi Md. Salleh.
Mengulas lanjut, Mohd. Sobrie berkata, isterinya, Farah Wahida Zabidi, 37, kini menggalas tanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal keluarga seperti menghantar dua anaknya yang bersekolah di Sitiawan.
“Selain itu, dia juga berulang-alik ke tempat kerja di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Kampung Serdang, Sitiawan dengan jarak perlu ditempuhnya melebihi 70 kilometer (km) pergi dan balik,” katanya.
Menurut bekas juruteknik sebuah syarikat penapis air itu, dia hanya mampu duduk tidak melebihi lima minit sebelum berasa penat dan perlu baring di katil.
Sementara itu, ibu mentuanya, Azizah Mohd. Shah, 62, berkata, dia tidak kisah menjaga Mohd. Sobrie kerana berpengalaman menguruskan Allahyarham suaminya yang turut diserang angin ahmar sebelum meninggal dunia.
Dalam pada itu, Mohd. Shaperi berkata, Mohd. Sobrie yang mencarum dengan Perkeso melayakkannya menerima bantuan menerusi skim pencen ilat.
Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh menghubungi Azizah di talian 012-5715 230.