PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah melaksanakan audit khas terhadap beberapa siri gangguan teknikal membabitkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) baru-baru ini
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, laporan audit khas itu akan dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu ini.
Beliau berkata, pihaknya telah menghubungi MAS sebelum ini dan siasatan telah dijalankan terhadap siri insiden membabitkan pesawat milik Malaysia Aviation Group (MAG) itu.
“Kita sudah hubungi pihak MAS, malah sebelum ini pun kita sudah lancarkan siasatan sebab ada insiden sebelum ini (seperti berpatah balik dan gelora udara).
“Saya akan melaporkan (penemuan dalam audit) kepada Kabinet Rabu ini dan sudah pasti tindakan susulan akan diambil oleh CAAM,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, pihaknya memandang serius berhubung apa yang berlaku membabitkan pesawat milik MAG itu.
Loke berkata, pihaknya juga sudah meminta MAG mengambil tindakan sewajarnya supaya operasi mereka lebih lancar dan tidak kompromi isu keselamatan. – KOSMO! ONLINE