fbpx

Duplantis pecah rekod dunia kali ke-10

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUPLANTIS cuma mengambil masa tiga minggu untuk mencipta rekod dunia baharu, memadam catatan lama dilakukannya pada Olimpik Paris. - AFP

CHORZOW, POLAND – Jaguh lompat bergalah Sweden, Armand Duplantis tidak jemu untuk memperbaharui rekod dunia miliknya selepas dia terus memecah catatan berkenaan buat kali ke-10 dalam kariernya pada aksi Liga Berlian Silesia awal pagi tadi.

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 itu berjaya meleburkan rekod dunia, 6.25 meter (m) yang dilakukannya di Stade de France tiga minggu lalu dengan catatan baharu selepas dia berjaya melepasi had ketinggian 6.26m.

Lebih manis, ini adalah kali ketiga bintang olahraga berusia 24 tahun itu mencipta rekod dunia baharu dalam tahun 2024 dan keseluruhan buat kali ke-10 sejak mula memecahkan rekod dunia dengan catatan 6.17m di Torun, Poland pada Februari 2020.

“Tahun ini saya fokus pada Sukan Olimpik, rekod itu datang secara semula jadi kerana saya berada dalam keadaan baik untuk melakukannya.

“Ramai orang datang ke sini untuk melihat saya melompat, jadi saya mahu menunjukkan persembahan yang baik untuk mereka.

“Jadi saya tidak terkejut dengan rekod hari ini dan bersyukur kerana berjaya melakukannya,” katanya.

Sementara itu, pelari Norway, Jakob Ingebrigtsen turut melakukan kejutan apabila memadam rekod dunia berusia 28 tahun dalam acara 3,000m dengan catatan masa tujuh minit 17.55 saat (s).

Ingebrigtsen berjaya memecahkan rekod milik pelari Kenya, Daniel Komen yang mencatat masa 7:20.67s pada 1996.

“Badan saya berada dalam keadaan terbaik hari ini. Jujurnya memang saya berharap dapat mencabar rekod dunia di sini tetapi saya tidak pasti sama dapat melakukannya atau tidak.

“Berdasarkan latihan sebelum ini, saya percaya boleh melakukannya. Sebab itu saya berusaha sebaik mungkin untuk cuba mendapatkan catatan masa ini,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI