ALOR GAJAH – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggerakkan program Santuni Madani KPT@KSB (Kuala Sungai Baru) dalam usaha memperkasakan sosioekonomi penduduk menerusi aktiviti pengumpulan sisa pepejal di lokasi tumpuan pelancongan.
Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, sehingga kini dua siri memperindahkan alam semula jadi itu telah dilaksanakan oleh sukarelawan daripada lima institut pengajian tinggi dan sebanyak 800 kilogram sisa pepejal plastik berjaya dikumpulkan di sepanjang pesisiran Pantai Kuala Sungai Baru.
“Program ini bertujuan untuk memberikan kesedaran umum mengenai kepentingan menjaga kebersihan di kawasan-kawasan yang tiada petugas khas atau kontraktor pembersihan, kebiasaannya hanya penduduk kampung membersihkan sendiri sampah sarap di sini.
“Kita juga cuba mewujudkan potensi usahawan di sini, sebab itu kita nak tahu berapa banyak sisa plastik yang berjaya dikutip dan sekiranya dapat kumpul sekitar 200 sehingga 300 kilogram seminggu, itu akan menjadi sumber kewangan baru untuk penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika turut sama menjalankan siri kedua program Santuni Madani KPT@KSB, di Pantai Kuala Sungai Baru, di sini Ahad lalu.
Ujarnya, lima institut pengajian tinggi yang terlibat adalah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Melaka (Unimel), Politeknik Melaka dan Kolej Komuniti Masjid Tanah.
Selain itu adalah ahli persatuan penduduk setempat dan warga KPT sendiri membabitkan jumlah keseluruhan sukarelawan seramai 500 orang.
Mengulas lanjut Zaini berkata, usaha sama juga telah diguna pakai di beberapa negara lain termasuk Indonesia yang mengitar semula sisa pepejal plastik menjadi produk inovasi baharu sebelum menjualnya kembali dalam pasaran pada harga jauh lebih mahal.
“Banyak negara termasuk di Indonesia, di Surabaya misalnya memang susah untuk jumpa sisa plastik kerana orang berebut mengutip dan menjualnya. Bahan ini menjadi sumber pendapatan baru buat penduduk di sana kerana ia mempunyai nilai.
“Inilah hasrat kita. Kita mahu bina ekosistem ini, amalan kutip sampah ini dapat membawa manfaat kewangan kepada penduduk di sini.
“Ini juga selari dengan inisiatif diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat menerusi libat urus berterusan,” katanya.
Jelasnya, satu kajian akan dikendalikan oleh UTeM untuk melakukan beberapa proses iaitu pengasingan, timbangan serta kutipan data sampah bagi penyelidik mencadangkan penyelesaian berkaitan usaha berkenaan.
Tambahnya, pihaknya menyasarkan untuk melakukan 10 lagi siri kutipan sisa pepejal sehingga hujung tahun ini. – KOSMO! ONLINE