ALOR GAJAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menemukan enam bungkusan mampat bungkusan teh cina dipercayai berisi dadah bernilai RM300,000 yang ditinggalkan di Pulau Konet, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Mohd. Khairi Abd. Aziz berkata, sebelum kejadian aset APMM yang sedang melaksanakan rondaan rutin telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan menuju ke arah pantai Pulau Konet.
“Menyedari kehadiran penguat kuasa, suspek telah memecut laju ke kawasan cetek untuk meloloskan diri dan anggota meminta bantuan pasukan operasi darat ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan kita menemui enam bungkusan mampat bungkusan teh cina berisi hablur kristal dipercayai dadah jenis syabu berat keseluruhan lebih kurang enam kilogram bernilai RM300,000 yang ditinggalkan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ujarnya, kesemua bungkusan tersebut dirampas kira-kira pukul 3.20 pagi dan dibawa ke pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut.
“APMM sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan undang-undang agar perairan negara selamat dari sebarang aktiviti yang menggugat kedaulatan negara,” katanya.
Terdahulu, Pulau Konet yang terletak kira-kira 100 meter dari daratan Kuala Sungai Baru sebelum ini terkenal kerana kisah-kisah misteri termasuk didakwa merupakan perkampungan bunian dan menjadi tempat pemujaan.
Ketika air laut surut, pengunjung boleh berjalan kaki untuk ke pulau berkenaan. Kedudukan pulau itu bagaimanapun dilaporkan semakin jauh ke tengah laut berikutan fenomena alam yang berlaku akibat hakisan pantai. – KOSMO! ONLINE