MANCHESTER – Bekas penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov menggesa pasukan itu mencari seorang lagi penjaga gol berkaliber dalam usaha memberi cabaran kepada David De Gea.
Menurut bekas pemain antarabangsa Bulgaria itu, De Gea dilihat terlalu kebal sepanjang sembilan tahun aksinya di Old Trafford sehingga menjejaskan prestasinya sendiri apabila melakukan kesilapan-kesilapan mudah kebelakangan ini.
Situasi berkenaan menyebabkan ramai peminat dan pemerhati mahu Dean Henderson yang dipinjamkan ke Sheffield United kembali ke Old Trafford bagi memberikan saingan kepada De Gea sekali gus memberi manfaat kepada dirinya untuk lebih fokus dalam setiap aksi.
De Gea menjadi mangsa kecaman apabila melakukan dua kesilapan sehingga memberi gol mudah buat Chelsea yang merakam kemenangan sekali gus menyingkirkan United pada aksi separuh akhir Piala FA hujung minggu lalu.
“Untuk gol kedua pada Ahad lalu, David sepatutnya mampu memberikan aksi yang lebih baik dan saya fikir dia sedar mengenai perkara itu.
“Pada pendapat saya, dia masih lagi penjaga gol terbaik dunia dan kita perlu lupakan mengenai kesilapan yang dilakukan. Semua penjaga gol hebat di dunia pernah melakukan kesilapan dalam karier yang dilalui.
“Namun, sudah sampai masanya untuk David menilai sendiri prestasinya kerana dia mampu memberikan suatu yang lebih berbanding apa yang dipersembahkan ketika ini.
“Jika United membuat keputusan untuk membawa pulang Henderson, ia satu perkembangan yang baik bagi memastikan David kembali ke prestasi asal dengan persaingan yang wujud,” jelasnya. – AGENSI