KUALA LUMPUR – Seramai 1,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aliran sastera akan diberi peluang mengikuti program asasi dalam jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di politeknik pada tahun ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, program itu merupakan satu projek rintis melibatkan pelajar aliran sastera untuk mengikuti program asasi STEM di politeknik.
Jelas beliau, kira-kira 476 pelajar SPM aliran sastera telah mengikuti program rintis tahun lepas di politeknik meskipun pada awalnya KPT membuka peluang kepada 500 orang pelajar.
Katanya, walaupun mereka bukan dalam bidang aliran sains tulen, tetapi mereka berminat untuk mendalami jurusan STEM.
Jelas beliau, program tersebut telah bermula sejak tahun lalu melibatkan pelajar lepasan SPM yang lulus atau memperoleh kredit dalam subjek Matematik dan Sains.
“Program yang kita lakukan ini bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap pelajar aliran sains tulen di peringkat SPM, sekali gus memberi peluang kepada pelajar aliran sastera untuk mengikut program STEM.
“Tidak salah kita bagi peluang pelajar sastera ini ambil jurusan STEM. Kita cuba ini (program rintis pelajar sastera kepada STEM di politeknik dengan mengambil asasi.
“Apabila lulus sahaja program asasi di politeknik ini, kita terus tempatkan mereka di universiti teknikal seperti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM),” katanya kepada Kosmo! di sini.
Tambah Zambry, selesai asasi di politeknik, pelajar itu kemudiannya akan di tempatkan di beberapa universiti teknikal seperti UTEM, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia
Perlis (UniMAP) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia UTHM.
“Ini lah salah satu cara kita untuk merubah cara kita belajar, walaupun mereka sebelum ini pelajar aliran sastera, tetapi akhirnya boleh menjadi jurutera dan sebagainya,” katanya.