TANJUNG MALIM – Mangsa banjir, Nur Ayu Fazira Seffee, 26, dari Kampung Pasir, Slim Village bersyukur album perkahwinannya ditemui dalam keadaan baik meskipun kediaman keluarganya terjejas teruk ekoran insiden kepala air, kelmarin.
Menurutnya, gambar kenangan itu tidak terjejas meskipun disimpan dalam kotak yang basah terkena air.
“Ketika kejadian, saya tiada di rumah jadi semua barang dan dokumen penting termasuk sijil dan album perkahwinan tidak sempat dibawa keluar.
“Bila balik rumah hari ini dan lihat kesan banjir sehingga ke paras pinggang, saya fikir mesti semua barang rosak kerana terendam dalam air.
“Namun bila diperiksa, saya lega apabila album perkahwinan yang diletakkan di atas rak di dalam bilik dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, kejadian banjir akibat kepala air itu paling buruk dialami keluarganya sepanjang mereka tinggal di kampung berkenaan.
Katanya, ibunya yang baru sembuh dari strok juga bersedih akibat kejadian itu tambahan lagi selepas melihat keadaan rumah yang diselaputi lumpur.
“Sebaik sahaja diberitahu jiran mengenai kejadian ini, saya terus bergegas balik ke rumah kerana bimbangkan keselamatan ayah dan emak tambahan lagi mereka tidak dapat dihubungi ekoran telefon bimbit terendam air.
“Ketika itu, saya cuma berhubung dengan jiran untuk tahu keadaan mereka dan lega apabila kedua-duanya selamat dibawa keluar,” katanya. – KOSMO! ONLINE