PUTRAJAYA – Pertemuan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari Brazil, Mauro Vieira pada hari ini membincangkan kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara merentasi pelbagai bidang.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, perbincangan itu antaranya melibatkan perdagangan dan pelaburan, industri halal, kesihatan, sains, teknologi dan inovasi, hubungan antara rakyat dan pembangunan keupayaan serta pertukaran lawatan di peringkat tertinggi.
Kementerian itu berkata, kedua-dua pemimpin itu juga turut bertukar-tukar pandangan untuk meningkatkan kerjasama menerusi forum serantau dan pelbagai hala, termasuk ASEAN, BRICS, G20, dan United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) 30th Conference of the Parties (COP30).
“Kedua-dua menteri turut menyentuh secara ringkas tentang perkembangan antarabangsa, termasuk situasi di Gaza dan konflik Rusia-Ukraine.
“Vieira juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Inrahim) di Kompleks Seri Perdana untuk membincangkan lebih lanjut mengenai hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Brazil,” katanya, hari ini.
Wisma Putra berkata, perbincangan tertumpu kepada lawatan rasmi Perdana Menteri ke Brazil pada November ini, serta aspirasi Malaysia untuk menyertai BRICS.
“Vieira mengalu-alukan permohonan Malaysia tersebut, dan memberi jaminan kepada Perdana Menteri akan sokongan daripada Brazil,” ujarnya.
Lawatan tersebut secara keseluruhan telah membuka lembaran baharu hubungan dua hala Malaysia-Brazil dalam usaha mengukuhkan kerjasama yang terjalin sejak tahun 1959.
Brazil terus menjadi rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin.
Pada tahun lalu, Malaysia dan Brazil mencatatkan jumlah dagangan sebanyak RM17.46 bilion iaitu peningkatan sebanyak empat peratus berbanding RM16.86 bilion yang dicatatkan pada tahun 2022. – KOSMO! ONLINE