fbpx

DUN Kedah: Kedah masih harap dapat eksport ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedah berhasrat untuk mengeksport daun ketum ke luar negara. - Gambar hiasan

ALOR SETAR – Kedah masih menaruh harapan agar Kerajaan Persekutuan dapat meluluskan cadangan untuk membenarkan eksport daun ketum ke luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab. Ghani berkata, perkara tersebut dibangkitkan semasa mesyuarat dengan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, baru-baru ini.

Kata beliau, sudah tiba masa eksport ketum dibenarkan berikutan potensi besar bahan itu sebagai produk perubatan di pasaran antarabangsa.

“Walau bagaimanapun, ia terletak kepada persetujuan Kerajaan Pusat. Baru-baru ini kita buat perjumpaan dengan semua exco pertanian dari seluruh negeri bersama dengan Menteri Perladangan dan Komoditi.

“Dalam mesyuarat itu dibangkitkan semula mengenai daun ketum dan menteri ambil maklum. Insya-Allah akan dibincang secara halus untuk kita bolehkan tanaman ini jadi hasil pendapatan kerana pasarannya besar,” katanya.

Dzowahir (PN-Suka Menanti) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhamad Amri Wahab (PN-Derga) pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini, hari ini.

Muhamad Amri bertanya adakah kerajaan negeri bersetuju menjadikan daun ketum sebagai sumber pendapatan dengan mengeksport bahan itu memandangkan Thailand membenarkan penggunaan ketum sebagai rawatan herba.

Mengulas lanjut, kata Dzowahir, ketum kini bukan sahaja digunakan di Thailand, malah Jerman turut menjadikan tanaman itu sebagai produk perubatan.

“Di Jerman mereka namakan sebagai kratum dan dibotol itu ditulis sebagai ‘Malay product’.

“Jadi saya ambil kesempatan ini agar kerajaan ambil serius potensi ketum, sekiranya dapat diusahakan secara terkawal bukan sahaja untuk manfaat pendapatan rakyat tapi perubatan untuk orang ramai,” tambahnya.

Pada November 2022, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kedah akan meneruskan usaha mendapatkan kebenaran mengeksport daun ketum ke Thailand secara sah daripada Kerajaan Persekutuan bagi membantu meningkatkan ekonomi rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri yakin usaha itu akan dapat direalisasikan sekiranya rakyat memberi kepercayaan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 ketika itu.

Muhammad Sanusi dengan nada berseloroh turut yakin ramai penduduk di Kedah boleh menjadi jutawan sekiranya daun ketum dibenarkan untuk eksport. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI