ALOR SETAR – Kawasan pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Bukit Kayu Hitam perlu dilengkapi kemudahan lengkap dan strategik bagi mengelak ekspatriat atau pekerja luar negara menetap di Danok, Thailand.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pembangunan kediaman dan bangunan komersial yang menarik turut perlu diberi perhatian.
Katanya, keperluan menggerakkan projek infrastruktur yang strategik dengan segera sangat penting dalam memastikan situasi itu tidak berlaku di kawasan pembangunan berimpak tinggi tersebut.
“Saya bimbang jika tidak digerakkan segera, maka di sebelah Thailand iaitu Danok akan membangun. Jadi, para ekspatriat akan tinggal di Danok dan bekerja di SBEZ. Kalau itu berlaku amat mendukacitakan kita,” katanya.
Haim Hilman (PN-Jitra) berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Abdul Ghafar Saad (PN-Guar Chempedak) mengenai status pembangunan SBEZ pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.
Kata beliau, situasi seperti itu sebelum ini berlaku di Kulim Hi-Tech (KHTP) di Kulim yang berjiran dengan Pulau Pinang.
“Ketika ini sangat kritikal untuk kita bangunkan SBEZ. Jangan kita ulangi, ini bukan suatu yang mendukacitakan tetapi terlepas pandang apa yang berlaku di KHTP di mana kita bangunkan kilang-kilang yang luar biasa sejak tiga tahun kebelakangan ini,” ujarnya.
Beliau berkata, ia perlu menjadi peringatan kepada kerajaan negeri bagi memastikan situasi sama tidak berlaku di SBEZ.
“Para pelabur tidak berminat untuk tahu tentang sentimen dalaman kita, pada mereka adakah infrastruktur strategik telah tersedia.
“Jejambat di Changlun harus dibangunkan segera dan segala usaha bersama Kerajaan Persekutuan perlu digerakkan selain isu trafik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE