PETALING JAYA – Rakyat Malaysia tidak mengira kaum dan agama bersatu hati bersama-sama mendoakan agar wanita warga India yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur ditemui segera.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai yang bersimpati dengan nasib wanita berusia 48 tahun itu selain mendoakan ketabahan buat keluarga mangsa.
“Ya Allah, kau berikanlah petunjuk. Kembalikan ‘auntie’ ke pangkuan keluarga. Selamatkan dia ya Allah. Allahuakbar,” kata Nur Syuhada di TikTok.
“Sedihnya, tak boleh tengok anak dia menangis. Ya Allah, kau berilah kekuatan dan ketabahan kepada anak dan keluarga mangsa. Permudahkan ya Allah pencarian dan penemuan mangsa,” doa Umi Nadira Raji.
“Sangat menyakitkan. Tuhan, tolong berikan keajaiban,” kata Thayshena.
Dalam masa sama, masyarakat Malaysia turut mendoakan petugas bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) diberikan kekuatan dalam pencarian mangsa.
“Semoga abang bomba dipermudah dalam misi mencari. Tak terbalas jasa kalian,” ujar NazeLuziaF.
“Semoga Allah permudahkan semua urusan penyelamat dan cepat menemui mangsa yang jatuh,” komen Ibu Maryam.
Kelmarin, Kosmo! melaporkan seorang wanita warga India terjerlus ekoran tanah mendap dengan kedalaman lebih kurang 10 meter di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE