MUAR – Penemuan mayat lelaki dan anak orang kelainan upaya (OKU) di sebuah rumah di Sungai Abong di sini semalam tidak mempunyai unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan dua mayat itu daripada orang awam pada 23 Ogos lalu.
“Kami terima laporan (daripada pengadu) berhubung bau busuk dari rumah jirannya di Sungai Abong. Hasil siasatan, pihak kami menemukan mayat dua lelaki dipercayai bapa dan anak OKU berusia 76 tahun dan 37 tahun.
“Turut ditemukan wanita OKU berusia 44 tahun juga anak kepada lelaki (bapa) yang meninggal dunia dipercayai sejak beberapa hari lalu dalam keadaan lesu dan kelaparan.
“Mayat dua lelaki itu telah dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan peka dengan komuniti kejiranan.
Semalam, Kosmo! melaporkan penemuan mayat dua beranak di dalam sebuah rumah gelap di Sungai Abong. Turut ditemukan seorang wanita dalam keadaan tidak bermaya kelaparan selepas beberapa hari tidak keluar rumah. – KOSMO! ONLINE