KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan status selaku ‘raja bola sepak moden Malaysia’ selepas mudah belasah Selangor FC 6-1 di pentas final Piala FA sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad Gergasi Merah kendalian Nidzam Jamil membariskan kesebelasan terbaik dengan Ronnie Fernandez, Yohandry Orozco dan Alvin Fortes mengetuai jentera serangan.
JDT kendalian Hector Bidoglio pula menggunakan formasi 3-6-1 dalam usaha menyerang kubu Merah Kuning sejurus wisel permulaan ditiupkan.
Usaha Harimau Selatan membuahkan hasil apabila berjaya membuka akaun jaringan hasil sepakan percuma menarik yang dilakukan oleh Juan Muniz pada minit ke-25.
Momentum cemerlang JDT berterusan apabila Arif Aiman Hanapi menggandakan kelebihan 2-0 pada minit ke-42 untuk meletakkan juara bertahan selesa di depan.
Bersambung pada separuh masa kedua, Selangor meniupkan api kebangkitan hasil penyudah Fortes pada minit ke-59 sekali gus merapatkan jurang 1-2.
Namun, kegembiraan Selangor tidak bertahan lama apabila Bergson berjaya manfaatkan peluang terhidang untuk kembali melebarkan kelebihan menjadi 3-1.
JDT semakin garang apabila Muniz meraih gol kedua peribadi untuk menjadikan kedudukan 4-1.
Heberty memastikan ‘malam indah’ Harimau Selatan berterusan dengan gol kelima pada minit ke-73 hasil sepakan luar kotak penalti.
Harimau Selatan meraih jaringan keenam dengan Muniz mencipta hatrik juga menerusi sepakan percuma dengan keputusan 6-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan tersebut menyaksikan JDT menjadi pasukan pertama menjuarai Piala FA buat kali ketiga berturut-turut.
Sementara itu, kemarau trofi domestik Selangor FC yang kali terakhir dimenangi pada Piala Malaysia 2015 berterusan. – KOSMO! ONLINE