BANGI – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) telah memperuntukkan kontrak terkumpul berjumlah RM16.9 bilion kepada syarikat vendor menerusi Program Pengilang dan Kontraktor Bumiputera (PPKB).
Ketua Pegawai Perolehan TNB, Amir Mahmod Abdullah berkata, pemberian kontrak sejak tahun 1994 itu melibatkan 822 syarikat merangkumi 32 vendor di bawah kategori pembekal dan 790 di bawah kategori kontraktor.
“Untuk tahun ini, jumlah kontrak yang akan dikeluarkan tertakluk kepada permohonan pihak kami kepada Suruhanjaya Tenaga.
“Bagaimanapun, semua permohonan baharu masih diterima serta dipertimbangkan pihak kami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Peningkatan Kemahiran Bagi Kontraktor TNB di Institut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS) di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurut Mahdzir, inisiatif TNB menerusi program tersebut bertepatan dengan usaha syarikat tersebut untuk meningkatkan kemahiran para kontraktor.
Program berkenaan mampu meningkatkan tahap daya saing daripada aspek kemahiran dan keupayaan teknikal mereka.
“Inisiatif ini juga dapat memastikan kerja yang dilaksanakan berkualiti serta mengikut prosedur dan piawaian kejuruteraan yang ditetapkan sejajar dengan komitmen TNB yang sentiasa berusaha untuk membangunkan vendor PPKB,” ujarnya.
Tambah beliau, TNB telah memainkan peranannya sebagai syarikat induk dalam usaha membangunkan para vendor khususnya dalam kalangan Bumiputera sejak lebih suku abad lalu yang mana manfaat daripadanya dapat dinikmati semua.