BRENTFORD – Dua pemain Brentford, Sepp Van Den Berg dan Fabio Carvalho akan bersemuka dengan pasukan lamanya menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Liverpool di Anfield malam ini.
Kedua-dua pemain itu pastinya turun dengan motivasi cukup tinggi bagi membuktikan bahawa keputusan Liverpool melepaskan mereka keluar berhijrah ke pasukan lain sebagai satu kesilapan besar.
Van Den Berg dijangka berada dalam kesebelasan utama Brentford pada pertemuan malam ini berdasarkan kaliber yang ditunjukkan sepanjang beraksi secara pinjaman bersama Mainz dalam saingan Bundesliga musim lalu.
Selain itu, pemain Belanda itu juga menunjukkan persembahan cukup baik ketika dimasukkan sebagai pemain gantian bagi membantu The Bees menewaskan Crystal Palace 2-1 pada pertemuan minggu lalu.
Dalam pada itu, Carvalho pula teruja untuk kembali ke Anfield, namun kali ini dia mahu membantu pasukan baharunya melakar kejutan dengan menewaskan bekas pasukannya itu dan membawa pulang tiga mata penting.
“Sebagai pemain bola sepak, saya tidak mahu hanya memanaskan bangku simpanan kerana saya mahu tunjukkan kepada dunia mengenai kemampuan yang dimiliki. Jadi, saya fikir di sini (Brentford) adalah tempat paling sesuai untuk melakukannya.
“Penyokong-penyokong Liverpool tahu bahawa saya sayangkan kelab tetapi saya amat memerlukan minit permainan. Mungkin saya bermain baik pada aksi pramusim tetapi tempat saya mungkin tergugat sebaik sahaja pemain-pemain lain kembali,” ujarnya. – AGENSI