KANGAR – Seorang tukang jahit maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan terjunam ke dalam laut di persimpangan Jalan Behor Mali – Jalan Sungai Berembang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, mangsa, Chan Khun Loon, 46, yang beralamat di Taman Simpang Jaya, Simpang Ampat maut di tempat kejadian kemalangan.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang tinggal di Simpang Ampat dekat sini dalam perjalanan dari arah Jalan Behor Mali ke Jalan Sungai Berembang.
“Motosikal jenis Yamaha Y15 ditunggang Khun Loon dipercayai merempuh tembok penghadang jalan sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke dalam laut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Yusharifuddin, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian.
Tambahnya, siasatan polis mendapati kemalangan tersebut tidak mempunyai unsur-unsur jenayah. – KOSMO! ONLINE