SEPANG – Setelah dua bulan pemeteraian perjanjian, Malaysia mula mengeksport durian segar ke China melalui penerbangan kargo terus ke Zhengzhou Xinzheng.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup pada berkata, buat permulaan sebanyak 40 tan metrik dieksport melalui tiga fasa dengan penghantaran kumpulan pertama seberat 15 tan metrik bermula esok.
Beliau berkata, baki 10 tan metrik lagi akan dihantar pada lusa untuk pasaran sekitar ibu kota Beijing, selain bandar-bandar besar iaitu Shanghai, Shenzhen Guangzhou dan Nanning.
“Kementerian berharap langkah ini akan membantu pekebun dalam meningkatkan eksport kerana China merupakan pengimport kelapan terbesar durian dari negara kita,” katanya di terminal kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, Malaysia hanya diberikan akses pasaran eksport ke China dalam bentuk ulas dan pes bermula pada 2011 manakala durian sejuk beku pula dibenarkan sejak 2018 lalu. – KOSMO! ONLINE