KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan secara hibrid melalui kerjasama dengan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia kerana kira-kira 35 peratus daripada 66,000 pengundi di Mahkota terdiri daripada pemilih berbangsa Cina.
“Jadi, kita menyantuni semua parti di dalam komponen Kerajaan Perpaduan untuk memobilisasikan jentera yang ada.
“Untuk itu, ada segmen tertentu yang kita akan berikan kepada DAP dan ada segmen yang lain kita berikan kepada MCA,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pendekatan yang sama akan dilaksanakan bagi mendekati pengundi India pada PRK tersebut.
“Terdapat lebih 8,000 pengundi India yang mana kita minta MIC untuk menggerakkan jentera bersama-sama dengan kepimpinan dan ahli dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR),” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan DAP akan membantu calon UMNO yang bertanding pada PRK DUN Mahkota.
Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, DUN Mahkota juga berada di bawah Parlimen Kluang yang disandang Wong Shu Qi iaitu wakil rakyat daripada DAP.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, Johor. – KOSMO! ONLINE