KUALA LUMPUR – Kawasan Jalan Masjid India hening tanpa kehadiran pengunjung seperti kebiasaannya selepas berlaku insiden seorang wanita warga India, 48, terjatuh dalam tanah jerlus sedalam lapan meter semalam.
Sejak semalam, kawasan sekitar tragedi ini sudah ditutup dengan garisan kuning serta dikawal ketat anggota bertugas khususnya anggota polis dan Jabatan Sukarelawan (Rela).
Tinjauan di lokasi mendapati suasana berubah sedikit ‘sepi’ namun masih ada orang awam yang cuba menjengah lokasi untuk melihat perkembangan terkini.
Pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini, tiada sebarang aktiviti mengorek lubang benam seperti semalam.
Operasi SAR semalam berakhir pukul 12.30 tengah malam tadi kerana mengambil kira faktor cuaca dan keadaan gelap.
Pencarian ibu kepada dua anak itu dimulakan semula hari ini seawal pukul 9 pagi.
Pagi tadi, dianggarkan kira-kira empat anggota skuba telah memasuki lubang benam bagi mencari mangsa atau petunjuk yang boleh membantu pasukan.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, pasukan keselamatan hari ini memfokuskan operasi untuk membuka enam ‘manhole’ di sekitar kawasan kejadian.
Enam ‘manhole’ yang terlibat adalah di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu seterusnya empat lokasi lain adalah di persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Agro Bank dan Bulatan Kinabalu. -KOSMO! ONLINE.