fbpx

Dunia korporat diminta rebut peluang raih pelaburan tahun hadapan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap pada Majlis The Edge Billion Ringgit Club 2024 yang berlangsung semalam. Foto Facebook Anwar

PUTRAJAYA – Pemain dunia korporat diminta untuk merebut peluang bagi menarik pelabur ke negara ini ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN pada tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di aplikasi Facebook berkata, sektor berkenaan perlu menonjolkan gabungan sebagai tarikan pelaburan dan perdagangan global.

“Keputusan Kerajaan untuk menyertai BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) juga membolehkan Malaysia meneroka pasaran baharu serta meningkatkan peluang pelaburan dan perdagangan, khususnya terkait sektor minyak sawit, getah dan elektronik,” katanya dalam hantaran itu selepas Majlis The Edge Billion Ringgit Club 2024 yang berlangsung semalam.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan sedang meneliti pelbagai kaedah untuk mempermudah urusan perniagaan, permodalan, tenaga mahir dan perkongsian teknologi dengan negara jiran, selain sedia memberikan insentif percukaian kepada syarikat yang terbabit dalam aktiviti berimpak tinggi.

“Saya ulangi komitmen kerajaan untuk mengotakan janji reformasi meskipun perlu melaksanakan langkah sukar dan tidak popular, demi memastikan kedudukan fiskal yang lebih baik, mengurangkan defisit serta menjamin kemampanan negara berkekalan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga memberi jaminan perkhidmatan awam yang lebih cekap, tegas dan telus, selain mengurangkan insiden kecurangan dan rasuah dalam kalangan penjawat awam, sekali gus mewujudkan ekosistem yang lebih baik untuk kumpulan perniagaan.

“Justeru, saya ambil kesempatan menggesa sektor korporat untuk bersama-sama kerajaan dalam usaha melawan rasuah yang merosakkan etika, nilai, budaya dan masyarakat, selain menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Jangan sesekali kita lupakan kisah tragis empayar hebat Rom yang runtuh akibat rasuah.

“Ini adalah masanya sektor swasta bekerjasama dengan kerajaan untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat dan generasi masa depan, serta memastikan setiap rakyat di negara ini dapat menikmati kehidupan yang bermaruah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI