PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tidak menyekat mana-mana media dalam membuat liputan program agensi berkenaan.
Anwar turut memberi jaminan akan menghubungi pihak PDRM bagi menangani perkara itu.
“Soal media saya akan hubungi PDRM segera supaya jangan ada mana-mana sekatan kepada media sebagaimana berlaku pada Malaysiakini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan amanat kepada warga penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Nengeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini hari ini.
Semalam, sebuah portal berita Malaysiakini dilarang membuat liputan di sebuah acara polis di Kuala Lumpur yang sepatutnya turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Acara “PDRM Special Dialogue II” bermula dengan perbincangan tertutup antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan pemegang taruh, antaranya agensi penguatkuasaan undang-undang lain bawah Kementerian Dalam Negeri dan juga Kementerian Kewangan.
Larangan itu walaupun setelah Malaysiakini menerima undangan menerusi emel daripada Bukit Aman, dengan portal ini membalas undangan pada hari sama serta menyertakan maklumat dua wartawan yang ditugaskan untuk ke acara itu.
Menurut pegawai itu, proses saringan dibuat dan mereka yang menerima emel undangan kedua pada 21 Ogos sahaja dibenarkan membuat liputan. – KOSMO! ONLINE