KUALA LANGAT – Seorang lelaki yang memandu Perodua Kancil secara melawan arus sehingga tular sebelum ini berjaya ditahan di tempat kerjanya di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Penahanan suspek berusia 40 tahun itu dilakukan pukul 5.30 petang oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, siasatan awal mendapati lelaki tersebut mengidap penyakit sawan dengan tidak menyedari kelakuannya membawa kenderaan secara melawan arus di lampu isyarat Jalan Sungai Nangka di sini.
Katanya, suspek hanya menyedari sebaik keretanya berhenti dan dimaklumkan oleh orang awam terhadap aksi berbahaya itu.
“Hasil semakan mendapati suspek mengalami penyakit sawan sejak dua tahun lalu dan menerima rawatan di Hospital Banting dan Hospital Sri Kota Klang.
“Suspek juga menerima rawatan setiap dua bulan dengan mengambil ubat disarankan doktor serta kali terakhir rawatan pada Oktober lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kata beliau, hasil siasatan juga mendapati tindakan melawan arus adalah kali pertama dilakukan suspek dengan sebelum ini lelaki itu akan berhenti di tepi jalan sekiranya diserang penyakit berkenaan.
Ujar Kamalariffin, ujian darah suspek telah dilakukan bagi tujuan laporan toksikologi dadah dan alkohol di Hospital Banting bagi mengenal pasti sama ada suspek memang disahkan mengalami sawan semasa kejadian tersebut.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua kesalahan lampau berkaitan trafik iaitu mengabaikan isyarat lalu lintas dan memandu secara laju.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Kosmo! semalam melaporkan polis memburu seorang lelaki yang dipercayai memandu kereta jenis Perodua Kancil secara melawan arus di Kilometer 1 Jalan Banting Jugra kelmarin. -K!ONLINE