MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag sedia untuk menyenaraikan pemain sayap, Jadon Sancho dalam skuad yang akan beraksi menentang Brighton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Amex malam ini.
Bagaimanapun, beliau menggesa pemain antarabangsa England itu supaya menjaga sikap sekiranya mahu terus menyarung jersi skuad The Red Devils memandangkan namanya dikaitkan bakal meninggalkan Old Trafford.
Ten Hag berkata, syarat itu tidak hanya tertakluk kepada Sancho sahaja kerana beliau mengharapkan semua pemain supaya menunjukkan disiplin yang tinggi selain menghormati setiap keputusan dibuat.
“Kami memiliki satu skuad dengan harapan untuk memiliki dua pemain pada satu posisi, tetapi kita perlu tunggu sehingga 1 September. Saya tidak boleh pilih semua pemain untuk berada dalam skuad musim ini.
“Berhubung perkara itu (menyenaraikan Sancho), kita tunggu dan lihat, tetapi saya sangat mementingkan sikap dan disiplin. Kami mahu menang perlawanan sebagai satu pasukan, bukannya individu,” katanya.
Sementara itu, beliau juga berada dalam dilema untuk menurunkan kesebelasan utama terbaik bertemu Brighton apabila beberapa pemain seperti Victor Lindelof, Luke Shaw, Tyrell Malacia dan Rasmus Hojlund belum pulih daripada kecederaan.
“Dia (Lindelof) ada masalah dengan kaki, jadi tidak akan bermain ketika bertemu Brighton nanti, begitu juga dengan Malacia, Hojlund dan Shaw. Saya perlu buat pilihan terbaik untuk kesebelasan utama nanti,” ujar Ten Hag. – AGENSI