PERTEMBUNGAN antara penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC bagi merebut Piala FA malam ini dijangka menjanjikan satu perlawanan yang sengit.
Pasukan yang dibarisi ramai pemain bintang, JDT mempunyai kelebihan berbanding Gergasi Merah berdasarkan prestasi memberangsangkan dalam saingan Piala FA musim ini.
Pemerhati sukan bola sepak, Hasnizam Uzir berkata, skuad Harimau Selatan beraksi dengan baik apabila cemerlang di bahagian serangan mencetak gol dan hanya dibolosi beberapa kali sahaja.
Katanya, skuad bimbingan Hector Bidoglio mempunyai struktur yang utuh dan juara bertahan itu juga mempunyai barisan pemain yang mantap di setiap aspek.
“Namun begitu, JDT tidak boleh terlalu berkeyakinan dan berhati-hati kerana Selangor pastinya sudah memasang perangkap untuk mengejutkan lawan.
“Saya menjangkakan pasukan kendalian Nidzam Jamil akan bermain secara berhati-hati dan bertahan selain menunggu masa yang tepat untuk melakukan serangan balas, itu yang akan menjadi turning point pada perlawanan itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, Selangor juga melalui kempen Piala FA dengan baik setelah ayam tambatan, Ronny Fernandez beraksi cemerlang mempamerkan sentuhan penyudah yang tajam.
Tambahnya, skuad Gergasi Merah itu juga sangat berbahaya pada situasi set-piece, pemain yang menjadi sasaran ialah Safuwan Baharudin yang meledak hatrik bagi membawa Selangor ke pentas final.
“Kita dapat saksikan ketiadaan Faisal Halim sejak beberapa perlawanan lalu dapat ditampung sebaiknya, namun kehadiran figura itu pastinya memberi suntikan semangat buat pasukan yang mahu menghadiahkan kemenangan Piala FA untuknya,” katanya.
Menurutnya, JDT pasti akan kekal dengan falsafah pasukan yang diterapkan apabila mendominasi permainan sebaik minit pertama dan cuba mendapatkan gol awal bagi memberikan kelebihan buat pasukan.
“Penguasaan di bahagian tengah dilihat menjadi faktor pemangkin yang menentukan kemenangan perlawanan ini, sebab itu JDT mempunyai kelebihan berbanding Selangor.
“Saya meramal JDT akan melengkapkan hatrik memenangi Piala FA tiga musim berturut-turut dengan kemenangan tipis 2-1,” ujarnya.