MESKIPUN Fatiya Latiff terpalit dengan pelbagai kontroversi, pengarah Erma Fatima tidak melihat perkara itu sebagai kekangan untuk dirinya bekerjasama dengan pelakon berkenaan.
Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 56, berkata, dia sangat menghargai bakat yang dimiliki Fatiya dan tidak mempunyai masalah untuk terus bekerjasama dengan pelakon itu pada masa akan datang.
“Saya tiada masalah berlakon dengan Fatiya. Saya sangat menghargai bakat yang Tuhan berikan kepada dia.
“Disebabkan itu juga saya ingin dia ada bersama dengan saya dan kembali aktif dalam industri seperti dahulu,” katanya kepada HibGlam.
Erma yang menerbitkan drama dalam talian, Jangan Tinggal Abang Dek! (JTAD) turut menampilkan Fatiya atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff, 36, dalam naskhah tersebut.
Tambah Erma, biarpun telah beberapa tahun tidak aktir, skil lakonan Fatiya kekal mantap dan tidak mempunyai masalah jika ingin aktif semula dalam bidang lakonan.
“Sewaktu menjayakan drama ini kita (pelakon dan kru produksi) menerima dia sepenuh hati. Kita tidak memandang dia sebagai makhluk asing.
“Saya tetap memberi dia layanan sama seperti pelakon lain. Saya juga akan pastikan Fatiya terus berlakon dalam karya saya seterusnya pada masa akan datang,” katanya.
Sebelum ini Erma mendapat pujian khalayak apabila berjaya memujuk Fatiya untuk kembali berlakon.
Untuk info, selain Fatiya, drama JTAD arahan Amor Rizan turut dibintangi Datuk Adi Putra, Adira Suhaimi, Nabila Huda, Elly Suriati, Elly Mazlein dan Alya Iman. – KOSMO! ONLINE