KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak akan berhenti memperjuangkan nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, UMNO juga tidak pernah lupa akan perjuangan untuk membela sahabat yang juga antara pemimpin hebat parti itu yang ketika ini masih berada di belakang tirai besi.
“Seperti yang saya jelaskan semasa Taklimat Presiden kelmarin, perjuangan kita untuk membela Datuk Seri Najib tidak pernah terhenti. Jika ada yang masih bertanyakan komitmen, pendirian parti tetap teguh.
“Walau ada yang mempertikaikan ikrar afidavit berhubung Titah Adendum, yang diikrarkan oleh saya dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai pelaksanaan baki hukuman Datuk Seri Najib menerusi tahanan rumah (house arrest), ia adalah bukti komitmen kita tidak pernah goyah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memberitahu, sebanyak 72 daripada 171 bahagian telah mengusulkan pengampunan penuh diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu.
Jelas Asyraf Wajdi, usul berkenaan merupakan antara usul yang tertinggi diterima oleh ibu pejabat selepas kesemua bahagian terlibat bermesyuarat. – KOSMO! ONLINE