fbpx

Wanita gigit hidung jiran tak tahan bunyi bising ubah suai rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH didakwa telah menggigit hidung jirannya sehingga cedera pada awal Januari lalu. - Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

MELAKA – Gara-gara tidak tahan dengan bunyi bising kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan di rumah jirannya, seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menggigit hidung penghuni kediaman itu, Januari lalu.

Tertuduh, Adrienne Liew Siew Wern, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera kepada jiran lelakinya, Lau Siong Ping, 40, kira-kira pukul 6 petang di sebuah rumah di Taman Bunga Raya Bukit Beruang, dalam daerah Melaka Tengah pada 19 Januari 2024.

Sabit kesalahan tertuduh yang masih bujang boleh dikenakan hukuman penjara satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, sebelum kejadian telah berlaku pertengkaran antara tertuduh dengan mangsa berkaitan bunyi bising kerja-kerja pengubahsuaian yang dilakukan di rumah jirannya itu.

Dia yang tidak berpuas hati bagaimanapun tiba-tiba bertindak menyerang mangsa dengan menggigit hidungnya.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Peguam Cassian Anthony yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnnya perlu menanggung ibu yang menghidap kanser otak dan hanya bekerja sebagai pembantu di sebuah farmasi.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan tarikh 26 September depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI