fbpx

Piala FA: Segenap aspek kelebihan milik JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMBANTU jurulatih, Jose Lopez dan pemain pertahanan JDT, Junior Eldstal menghadiri sidang media yang berlangsung semalam.

PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) wajar dilabel pilihan utama dalam usaha memburu gelaran ‘hatrik’ Piala FA pada aksi final menentang Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Pandangan itu disuarakan oleh bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar yang menyifatkan skuad Harimau Selatan memiliki kelebihan daripada pelbagai aspek.

Kata Azlan, prestasi konsisten yang dipamerkan oleh JDT sejak awal musim ini menjadi faktor utama mereka layak dianggap pilihan sekali gus mempertahankan gelaran trofi berprestij itu kali ini.

“Memang atas kertas, ternyata JDT ada kekuatan tersendiri dan sudah tentu mereka adalah pilihan utama. Kita boleh lihat statistik perlawanan yang lepas mereka menjaringkan lebih banyak gol.

“Tidak keterlaluan saya katakan jika pasukan itu juga memiliki barisan pemain berkaliber yang mampu menjadi pemusnah di jentera serangan seperti Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi dan Oscar Arribas.

“Selain itu, dua pemain pertahanan tempatan, La’vere Corbin-ong dan Matthew Davies juga boleh menjadi ancaman pasukan Selangor FC pada aksi final nanti,” katanya kepada Kosmo!.

Sementara itu, Azlan turut tidak menolak keupayaan pasukan Gergasi Merah untuk melakar kejutan selepas memiliki motivasi terbaik untuk menamatkan kemarau trofi domestik yang melanda pasukan sejak sembilan tahun lalu.

“Pada awal musim, kita boleh lihat aksi Selangor FC tidak begitu konsisten dan tercari-cari rentak, tetapi mereka sudah menunjukkan kebangkitan pada beberapa perlawanan terakhir dengan pemain juga begitu serasi.

“Selain itu, saya rasa kejayaan memenangi piala-piala kejohanan luar daripada anjuran Liga Malaysia sebelum ini juga mampu menaikkan motivasi pemain untuk mencipta kejutan,” katanya.

Sebagai rekod, skuad Harimau Selatan yang melakar kejayaan ‘double quadruple’ merupakan juara bertahan bagi trofi berprestij itu selepas mendominasi sejak edisi 2022.

Jika berjaya menang Piala FA malam ini, JDT akan menjadi pasukan pertama meraih gelaran hatrik dengan tiga gelaran berturut-turut dalam sejarah kejohanan selepas diperkenalkan pada 1990.

JDT sebelum ini sudah menjulang trofi Piala Sumbangsih pada Mei lepas selepas pasukan Gergasi Merah menarik diri pada saat akhir atas faktor keselematan.

Dijangka 80,000 penyokong setia kedua-dua pasukan bakal membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI