PETALING JAYA – Siput sedut merupakan sumber protein yang baik dan mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan.
Menurut Public Health Malaysia (PHM), ia kerana siput sedut mengandungi mineral penting seperti kalsium, magnesium, dan zat besi.
“Ini menjadikannya bermanfaat untuk membina dan memperbaiki tisu badan, serta menyokong kesihatan tulang dan imuniti.
“Namun, jika tidak dimasak dengan betul, siput sedut boleh membawa parasit dan bakteria berbahaya sehingga menyebabkan penyakit serius,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Kata PHM, siput yang hidup di perairan tercemar boleh mengandungi logam berat yang membahayakan kesihatan.
“Untuk mendapatkan manfaat penuh, pastikan pastikan proses memasak yang sempurna dan memastikan sumber siput dari perairan yang bersih,” jelasnya.
Terdahulu, hidupan air itu ‘trending’ (sohor) di media sosial apabila seorang lelaki meraih hampir RM2,000 dengan hanya bersiaran langsung menunjukkan siput sedut berlumba.
Muhammad Aswat Azdha Idris, 29, atau lebih dikenali sebagai @tansri_ash di akaun TikToknya, tidak menyangka permintaan untuk melihat siput sedut berlumba sangat tinggi dalam kalangan penonton. – KOSMO! ONLINE