IPOH – Polis menahan enam lelaki termasuk tiga warga Myanmar bagi membantu siasatan video tular pergaduhan sekumpulan individu di sebuah kedai makan di Taman Jubilee, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan terhadap lelaki berusia 31 hingga 50 tahun itu dijalankan di beberapa lokasi di Ipoh sejak semalam.
Katanya, tangkapan terbaru melibatkan seorang lelaki warga Myanmar pada pukul 4.15 petang tadi.
“Siasatan mendapati, kejadian itu berlaku pada pukul 1.25 pagi di mana pergaduhan melibatkan dua pelanggan lelaki warga tempatan dengan seorang pekerja kedai warga Myanmar.
“Berdasarkan siasatan, kejadian berlaku disebabkan pekerja terbabit tersalah hantar pesanan makanan kepada pelanggan hingga terjadi pertengkaran mulut yang akhirnya membawa kepada pergaduhan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ketika anggota polis tiba di lokasi kejadian, pekerja restoran itu telah pun melarikan diri, manakala dua pelanggan itu pula cedera.
“Kesemua tangkapan akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dijalankan. Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk ke pejabat pendakwaan negeri untuk tindakan selanjutnya,” ujar beliau.
Terdahulu, tular dalam media sosial rakaman video berdurasi 33 saat yang memaparkan pergaduhan sekumpulan individu menggunakan kerusi plastik di sebuah kedai makan. – KOSMO! ONLINE