KOTA TINGGI – Sakit terkena dua das tembakan dalam tragedi berdarah serangan Balai Polis Ulu Tiram pada Mei lalu masih dirasai, malah ‘bisanya’ akan terus melekat dalam memori hidup Sarjan Mohd. Hasif Roslan.
Mohd. Hasif, 38, merupakan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam serangan itu mengakui tidak akan melupakan detik hitam apabila dia mengalami kecederaan parah ditembak di bahagian bahu dan pinggul kirinya.
“Kesan tembakan yang menembusi di bahagian bahu dan pinggul itu masih terasa kebas dan bisanya, bila nak sarung pakaian atau bergerak kadang-kadang terasa sakitnya.
“Bagaimanapun, saya kuatkan semangat melawan keadaan itu, kini keadaan kesihatan saya sudah pulih 75 peratus dan sudah mampu bertugas seperti biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, di sini hari ini.
Ujarnya, dia kini bertugas di IPD Kota Tinggi dan masih menjalani rawatan susulan iaitu fisioterapi di Hospital Kota Tinggi.
Dalam kejadian 17 Mei lalu, Allahyarham Koperal Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Koperal Muhamad Syafiq Ahmad Said meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Mohd. Hasif cedera ditembak.
Terdahulu, Mohd. Hasif menerima sumbangan daripada Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) disampaikan oleh Presidennya, Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin di IPD Kota Tinggi. Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Apandi Senin.
Sementara itu, Meor Chek Hussien berkata, pihaknya yang melancarkan tabung kutipan bagi mangsa serangan di Balai Ulu Tiram berjaya mengumpulkan RM34,000 yang mana, sebanyak RM13,000 masing-masing disumbangkan kepada dua keluarga yang terkorban, manakala RM8,000 kepada Mohd. Hasif. – KOSMO! ONLINE