JAKARTA – Seorang anggota polis cedera akibat diserang menggunakan senjata tajam ketika cuba menghalang pergaduhan beberapa kumpulan penunggang motosikal di Medan, wilayah Sumatera Utara, lapor laman berita Detik hari ini.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Medan, Komisioner Polis Jama Kita Purba berkata, kejadian tersebut berlaku pada akhir Julai lalu, namun video mengenainya tular di laman sosial beberapa hari lalu.
“Mereka (geng motosikal) melawan anggota-anggota kami, menyebabkan seorang cedera di tangan kanan akibat ditikam,” kata Jama.
Menurutnya, dalam kejadian tersebut, polis pada awalnya menerima maklumat bahawa beberapa kumpulan motosikal akan bergaduh di Jalan Klambir V, Medan Helvetia.
Sejumlah anggota kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengelakkan pergaduhan tersebut daripada berlaku.
“Mereka (kumpulan penunggang motosikal) berjumlah ratusan orang. Ramai yang membawa parang dan pelbagai lagi senjata tajam. Menurut maklumat, ada tiga hingga empat kumpulan terlibat,” jelas Jama.
Tambahnya, setibanya di lokasi kejadian, anggota-anggota polis cuba meleraikan pergaduhan itu, menyebabkan mereka diserang sehinggakan salah seorang anggota cedera.
Polis melakukan beberapa tangkapan dalam insiden tersebut, manakala beberapa senjata tajam termasuk panah dirampas. – AGENSI