fbpx

Kesihatan emosi dipengaruhi organ hati?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMOSI seseorang berkait rapat dengan kesihatan tubuh badan. – Gambar hiasan

PERNAHKAH anda terfikir, punca emosi (mood) dan tenaga kita berubah-ubah serta ada turun naiknya.

Kebanyakan hari, kita akan rasa tenang dan ceria.

Namun, ada masanya perasaan merudum dan rasa tidak bertenaga, sekali gus membuatkan kita tertanya-tanya sebabnya.

Apa kaitan emosi dengan Perubatan Tradisional Cina (TCM)? Dalam amalan TCM, matlamat kita adalah untuk mencapai keharmonian antara struktur tubuh, tenaga utama atau daya hidup serta teras rohani yang secara kolektifnya dikenali sebagai ‘Xing Qi Shen’.

Tubuh kita melakukan penyesuaian yang sebaiknya untuk menghadapi cabaran hidup dan berfungsi secara optimum apabila semua tenaga ini seimbang.

Bagaimanapun, ketidakseimbangan dalam tenaga yang berlawanan boleh memberi isyarat kepada potensi penyakit.

Walaupun keseimbangan sempurna tidak boleh dicapai kerana ia akan menyekat sifat dinamik tubuh, namun amat penting untuk kita mengenal pasti tanda-tanda awal masalah kesihatan.

Dalam TCM, kesihatan emosi berkait rapat dengan organ-organ tertentu atau dikenali sebagai ‘tujuh emosi’.

Emosi ini iaitu gembira, marah, bimbang, murung, sedih, takut dan terkejut turut mempunyai kaitan rapat dengan lima ‘visera’ iaitu mewujudkan interaksi kompleks antara pengalaman emosi serta fungsi organ dalaman.

Menurut TCM, setiap emosi berinteraksi dengan organ tertentu dan emosi yang keterlaluan atau berpanjangan boleh menjejaskan kelancaran aliran ‘qi’ dan darah, sekali gus menyebabkan ketidakseimbangan serta mengundang penyakit.

Berdasarkan kepada pemahaman ini, ia jelas menekankan kepentingan untuk melihat setiap organ sebagai entiti yang berfungsi dan mengiktiraf peranannya dalam mengekalkan keseimbangan emosi.

Meskipun penilaian emosi tidak semestinya menjadi petunjuk kepada penyakit, namun ia merupakan aspek penting dalam diagnosis TCM.

Ia dapat menjelaskan bagaimana fungsi organ boleh mempengaruhi kesejahteraan emosi.

Melalui penerokaan ke atas keterhubungan antara fizikal tubuh, tenaga utama atau daya hidup dan daya tahan emosi, TCM berusaha untuk meningkatkan keharmonian berterusan antara tubuh, minda serta rohani secara menyeluruh.

Tambahan pula, setiap organ sepadan dengan salah satu daripada lima unsur iaitu api, tanah, kayu, air dan logam, di mana tenaga kehidupan atau ‘qi’ mengalir di antaranya.

Contohnya, peranan hati dalam TCM berkait rapat dengan emosi seperti kemarahan, kekecewaan dan kebencian.

Dirujuk sebagai ‘jeneral kepada pegawai’, hati mengawal emosi, menyimpan darah dan mempunyai fungsi mengatur peredaran ‘qi’ yang meningkatkan kestabilan emosi.

Menurut teori lima unsur, hati tergolong dalam unsur kayu yang memainkan peranan penting dalam pengawalan emosi dan penyimpanan darah.

Kemarahan yang keterlaluan boleh menyebabkan peningkatan ‘qi’ dan darah sehingga boleh mengakibatkan gejala seperti sakit kepala, pening, muka menjadi merah, tinitus (bunyi bising dalam telinga) dan pitam.

Tekanan emosi yang menyebabkan hati gagal memainkan fungsinya sebagai penyebar boleh mengakibatkan ‘qi’ bergenang dan mencetuskan ketidakseimbangan emosi seperti rasa marah, rengsa dan benci, selain gejala fizikal contohnya masalah pencernaan.

Konsep TCM lain turut meneroka bagaimana kegembiraan keterlaluan, terlalu banyak berfikir, kesedihan berpanjangan dan ketakutan berlanjutan mempengaruhi aliran ‘qi’ dan fungsi organ.

Hubungan antara kesihatan emosi dan ketidakseimbangan organ adalah salah satu daripada pengaruh dan interaksi yang saling berkait, sekali gus menonjolkan pendekatan TCM dalam menangani kesejahteraan fizikal serta emosi.

Dalam pada itu, TCM mempunyai sejarah panjang dan terbilang, namun ia masih sukar disatukan.

Bagaimanapun, banyak usaha sedang dilakukan untuk mendokumentasikan keberkesanannya.

Hasilnya, sebuah badan penyelidikan yang semakin meningkat tampil memberi penerangan bagaimana TCM boleh meredakan gejala yang biasanya dikaitkan dengan keresahan dan kemurungan, termasuklah insomnia, kelesuan serta masalah pencernaan.

Dalam keadaan tertentu, TCM boleh melengkapkan pendekatan rawatan konvensional yang biasanya membabitkan kaunseling dan ubat farmakologi standard.
Kemurungan, keresahan dan kecelaruan panik merupakan cabaran kesihatan emosi yang lazim.

Kemurungan biasanya muncul sebagai perasaan sedih yang berterusan, tiada mood dan kurang minat atau tenaga.

Gangguan keresahan pula boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kebimbangan, kegelisahan dan rasa gementar melampau, selalunya ia disertai oleh ketidakselesaan fizikal.

Oleh itu, TCM menawarkan pendekatan holistik yang memupuk kesihatan dan kecergasan berpanjangan.

 

Dr. Ong Siew Siew ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengubatan Komplimentari dan Alternatif di Universiti Perubatan Antarabangsa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI