fbpx

Bekas Pengurus Besar Panorama gajikan anak sendiri didenda RM15,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH (tengah) bersama Azrul (kanan) selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini.

MELAKA – Bekas Pengurus Besar Syarikat Panorama Melaka Sdn. Bhd. didenda RM15,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menggaji anaknya di syarikat itu enam tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Abu Bakar Jani, 64, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan pilihan.

Tertuduh didapati membuat bayaran gaji berjumlah RM31,200 kepada anak perempuannya yang dilantik ke jawatan Penolong Pegawai Sumber Manusia pada 2 Januari 2019 hingga 31 Disember 2020.

Kesalahan dilakukan di Bangunan Terminal Melaka Sentral, Jalan Tun Abdul Razak, di sini pada 27 Disember 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork merayu agar hukuman diringankan dengan alasan dia hanya membantu adik iparnya menjual goreng pisang dan menghidap penyakit kencing manis.

Tambahnya, anak bongsunya juga mempunyai komplikasi kesihatan dan kos rawatan hospital ditanggung olehnya dan isteri.

Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainudin memohon hukuman setimpal kerana pelantikan kroni ke dalam jawatan di mana-mana syarikat sama ada kerajaan atau swasta semakin meruncing.

Tambahnya, ia juga atas faktor kepentingan awam yang mana tertuduh melantik anaknya tanpa kelayakan sepatutnya sekali gus mengekang peluang individu lain.

Mengikut fakta kes, tawaran jawatan itu dibuka kepada mereka yang mempunyai Diploma Pengurusan Sumber Manusia, namun anak tertuduh hanyalah lepasan Diploma bidang Seni Lukis dan Seni Reka (Fesyen).

Elesabet kemudian menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI