PETALING JAYA – Waktu operasi Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil pada Sabtu ini akan dilanjutkan sehingga pukul 1 pagi sempena Perlawanan Akhir Piala FA Malaysia 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini berkata, tren tambahan akan disediakan sejurus tamat perlawanan bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang.
Ujarnya, stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa namun para penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.
“Semua stesen-stesen pertukaran rel turut dilanjutkan waktu operasi bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir.
“Penumpang disaran untuk menggunakan kad Touch ‘n Go bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen.
“Bagi pengguna token, digalakkan untuk membeli token pergi dan balik sebelum keluar dari stesen,” katanya.
Tambah Rapid Rail, penumpang juga disarankan untuk menggunakan fasiliti parkir Park N’ Ride yang terdapat di stesen-stesen LRT dan Transit Aliran Massa (MRT) terpilih.
“Sejumlah 18,680 ruang parkir kereta tersedia bagi penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan tren untuk ke stadium.
“Bagi memudahkan penumpang merancang perjalanan, sila rujuk media sosial Rapid KL serta aplikasi PULSE bagi mendapatkan informasi terkini mengenai status perkhidmatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE