KUALA LUMPUR – Terkejut apabila namanya dikaitkan dengan individu bergelar Datuk H, penyanyi Adira Suhaimi menafikan dakwaan dirinya kini sedang menjalin hubungan dengan lelaki itu seperti didakwa sebilangan netizen.
Akui Adira atau nama lengkapnya Siti Adira Suhaimi, 32, dia tidak mengenali sesiapa yang dikatakan sebagai Datuk H itu selain mengesahkan individu tersebut tidak wujud.
“Saya sebenarnya tidak kejar sesiapa. Datuk H itu pun tidak wujud, betul saya kata.
“Secara peribadi saya juga tidak tahu sumber (dakwaan) itu datang daripada mana. Sebab saya sendiri tidak mengenali dengan sesiapa sekarang.
“Saya sendiri terkejut apabila ada yang mengaitkan Datuk H dengan saya. Terus terang saya memang tidak kenal atau tahu siapa Datuk H,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis sidang media memperkenalkan jenama Elegant sebagai penaja utama drama dalam talian Jangan Tinggal Abang Dek! di sini hari ini.
Penyanyi lagu Ombak Rindu itu turut tidak menafikan dia kini sedang menjalin hubungan baik dengan bekas suami iaitu Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu, 47.
Malah, Adira juga tidak menolak sekiranya berkahwin semula dengan Red pada masa hadapan.
Tambahnya, Red mengetahui tentang khabar angin itu tetapi tidak mempedulikannya.
“Dia tahu tentang itu. Secara peribadi dia tidak bertanya, tetapi dia mengetahui tentang itu (dakwaan bercinta dengan Datuk H) dan dia percaya dengan saya.
“Saya tidak mahu komen lebih-lebih. Saya mohon doa yang baik-baik. Sekarang kita yakin dan Insya-Allah.
“Kita cuba kalau ada jodoh, kami bersama tetapi jika tiada jodoh, saya tetap akan meneruskan kehidupan seperti biasa. Sekarang ini kita sedang berusaha, dia ada perkara yang hendak dicapaikan dan begitu dengan saya,” katanya.
Adira dan Red bercerai talak satu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang setelah sembilan tahun berkahwin.
Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata, Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2. – KOSMO! ONLINE