fbpx

Lelaki diculik empat individu, lepaskan diri dengan tangan bergari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang tular di media sosial menunjukkan lelaki bergari dibantu orang awam di sebuah masjid di Taiping selepas terjun dari kenderaannya yang dilarikan empat lelaki dalam kejadian di Kampung Teluk Perang, Parit, awal pagi tadi

PARIT – Seorang lelaki yang menjadi mangsa culik oleh empat individu berjaya melarikan diri dalam keadaan tangan bergari dari kenderaan miliknya yang dilarikan penculik dalam kejadian di Kampung Teluk Perang dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa cedera ringan dan calar pada beberapa bahagian badan selepas berjaya membuka kenderaan dan terjun ke atas jalan berhampiran sebuah masjid dekat Taiping bagi mendapatkan bantuan orang ramai.

Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintendan Nik Rosdi Nik Yahya berkata, siasatan awal mendapati, mangsa sebelum itu memandu kereta Honda HRV miliknya berseorangan di kawasan Teluk Perang, Parit sekitar jam 8.30 malam sebelum dia ditahan sebuah kereta Proton Waja dinaiki empat lelaki.

“Tiga lelaki telah turun dari Proton Waja tersebut dan dua daripada mereka memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan mahu buat pemeriksaan ke atas mangsa sebelum menaiki kereta mangsa.

“Mangsa akur untuk diperiksa dan dia memberi kerjasama. Sebaliknya mangsa telah digari dan kepalanya diserkup dengan topeng hitam sebelum dibawa masuk ke dalam keretanya,” katanya di sini hari ini.

Nik Rosdi berkata, mangsa dibawa berjalan untuk suatu tempoh masa yang panjang dan turut dipukul dengan kayu pada badan serta dipaksa menyerahkan barangan miliknya iaitu dua buah telefon bimbit, dompet berisi dokumen pengenalan diri dan kad ATM serta wang tunai sebanyak RM200.

Katanya, polis sebelum itu telah menerima satu laporan pada pukul 1.40 pagi daripada seorang wanita berusia 25 tahun menyatakan telah menerima panggilan daripada telefon bimbit suaminya kira-kira pukul 9.30 malam dan pemanggil meminta RM50,000 sebagai ganti rugi kerosakan kenderaan yang dilanggar mangsa.

Beliau berkata, dalam laporannya wanita itu mendakwa panggilan itu bagaimanapun terputus dan pengadu kemudian menerima satu lagi panggilan menyatakan harga kos kerosakan diturunkan ke RM20,000 dan minta dibayar segera ke akaun Maybank suami pengadu.

“Talian sekali lagi terputus dan telefon bimbit suaminya terus gagal dihubungi. Pengadu bersama bapanya telah keluar mencari namun tidak menemui mangsa dan datang ke Balai Polis Parit membuat laporan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Nik Rosdi berkata, sepasukan polis kemudian menjalankan operasi mengesan mangsa selepas menerima laporan namun gagal malah polis juga ridak mengesan sebarang laporan kemalangan di daerah Perak Tengah serta daerah jiran melibatkan kereta dinaiki suami pengadu.

Katanya, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat dalam kes berkenaan untuk tampil membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaam iaitu mendatangkan cedera ketika melakukan rompakan dan usaha mengesan keempat-empat saspek terlibat giat dijalankan.

“Polis juga menyeru orang ramai sekiranya mengesan kenderaan Honda HRV berkenaan yang bernombor pendaftaran AKC 939 supaya segera menghubungi polis,” katanya.

Beliau berkata, sebarang maklumat berhubung kes itu boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Perak Tengah, Asisten Superintendan Mohamad Jazlan Sharif di talian 013-521 8607; pegawai penyiasat kes, Inspektor M. Maheswaran di talian 010-700 5051 atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Perak Tengah di talian 05-371 2222. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI